Senaman Untuk Meningkatkan Kadar Metabolisma Tubuh

0

Category:


Senaman yang dapat menjana keaktifan metabolisma tubuh ialah senaman yang melibatkan penggunaan otot-otot tubuh yang besar. Apabila metabolisma tubuh kita aktif, anda akan dapat menurunkan berat badan dengan cepat.

Otot tubuh yang besar adalah:

  • Peha
  • Dada
  • Belakang badan

Sebelum kita perhatikan jenis senaman yang menggunakan otot-otot besar, adalah lebih baik kita ketahui mengapa kita perlu lebih menggunakan otot-otot ini.

Aktiviti senaman akan membuatkan otot-otot kita bergerak melebihi pergerakan harian yang biasa. Ini bermakna, otot akan melakukan lebih “kerja”.

Untuk menampung “kerja” dengan aktif, otot akan membakar karbohidrat dalam tubuh untuk ditukarkan kepada tenaga. Karbohidrat adalah bahan makanan yang akan bertukar menjadi gula dan terkumpul sebagai lemak jika tidak digunakan dengan aktif. Ini adalah merbahaya.

Oleh itu, dengan lebih pembakaran karbohidrat, kita akan dapat menyingkirkan lebih banyak lemak. Dan dengan menggunakan otot-otot yang besar, lebih banyak karbohidrat yang akan digunakan. Ini akan menyebabkan lebih banyak lemak akan dapat disingkirkan.

Setelah otot-otot kita selesai melakukan “kerja” berat, ia perlukan kalori yang secukupnya untuk pulih kembali seperti sedia kala. Oleh itu, otot akan terus membakar kalori daripada tubuh semasa ia rehat. Proses pembakaran kalori ini akan membolehkan kita terus berjaya menurunkan berat badan sepanjang masa.

Dengan itu, lebih besar otot yang digunakan, proses pembakaran kalori atau metabolisma tubuh akan bekerja dengan lebih aktif.

Rutin Senaman Yang Berkesan

Peringatan: Sebelum memulakan apa jua gerak senaman, pastikan anda melakukan pemanasan badan sekurang-kurangnya selama 10 minit. Gerakan pemanasan yang boleh dilakukan adalah seperti berlari setempat atau melompat setempat secara perlahan.

1- Half Squat - Separa Menyangkung
Senaman ini merupakan salah satu gerak senaman menggunakan otot besar yang amat efektif untuk meningkatkan metabolisma tubuh.



Cara Melakukan
  • Berdiri tegak dengan kaki dibuka selari dengan keluasan bahu.
  • Tarik nafas dan mula menyangkung sambil memastikan badan sentiasa tegak. Boleh juga meluruskan tangan ke hadapan untuk mengimbangi badan.
  • Apabila peha berada pada sudut 45 darjah (selari dengan lantai), berhenti seketika dan berdiri tegak semula sambil menghembus nafas. Tumpukan perhatian kepada menggunakan otot peha ketika menolak badan untuk berdiri semula.

Lakukan gerakan ini sebanyak 20 kali dalam satu set. Rehat selama 30 saat dan mulakan set yang kedua. Lakukan sebanyak 3 set. Apabila anda telah semakin kuat, tambahkan menjadi 4 set.

Lakukan senaman ini 3 kali seminggu. Pastikan anda rehat sehari selepas melakukannya untuk membolehkan otot pulih daripada “kerja” berat yang dilakukan.

2-Push Up – Tekan Tubi
Senaman yang menggunakan otot dada secara efektif ini sememangnya sudah dikenali ramai.



Cara Melakukan
  • Lakukan posisi meniarap dengan kedua tangan dibuka pada keluasan bahu dan lurus menekan lantai menggunakan tapak tangan. Pastikan belakang tubuh anda dalam keadaan lurus.
  • Tarik nafas dan mula turunkan badan anda menuju lantai. Pastikan belakang badan anda sentiasa tegak semasa menurun. Pastikan juga tapak tangan berada pada di paras dada semasa badan anda hampir sampai ke lantai.
  • Berhenti apabila badan anda hampir mencecah lantai. Hembus nafas sambil menolak semula badan anda ke posisi permulaan. Tumpukan perhatian kepada menggunakan otot dada untuk melakukan penolakan.

Lakukan gerakan ini sebanyak 10-15 kali dalam satu set. Rehat selama 30 saat dan mulakan set yang kedua. Lakukan sebanyak 3 set. Apabila anda telah semakin kuat, tambahkan menjadi 4 set.




Tip: Jika anda tidak biasa melakukan senaman ini, anda boleh bermula dengan melakukan posisi meniarap hanya sekadar lutut sahaja. Ini akan mengurangkan tekanan untuk membolehkan anda berjaya melakukan senaman ini. Apabila anda sudah semakin kuat, bolehlah melakukan posisi meniarap sepenuhnya.

Lakukan senaman ini 3 kali seminggu. Pastikan anda rehat sehari selepas melakukannya untuk membolehkan otot mengalami masa rehat untuk pulih.

3- Chin Up
Senaman ini akan menggunakan otot belakang badan anda dengan efektif. Berikan lebih tumpuan kepada menggunakan otot belakang semasa melakukan senaman ini.



Cara Melakukan
  • Anda perlu bergayut pada sebuah palang menegak yang mampu menampung berat badan anda. Pastikan badan anda tergantung sepenuhnya dengan tangan anda berada dalam keadaan lurus. Tapak tangan anda boleh menggenggam ke arah belakang atau ke hadapan.
  • Tarik nafas dan tarik badan anda ke atas menuju palang. Tarik sehingga dagu anda melepasi palang. Tumpukan perhatian kepada lebih menggunakan otot belakang anda semasa menarik.
  • Sebaik sahaja dagu anda melepas palang, turun semula dengan perlahan sambil menghembus keluar nafas sehingga badan anda tegak semula.

Lakukan gerakan ini sebanyak 8-10 kali dalam satu set. Rehat selama 30 saat dan mulakan set yang kedua. Lakukan sebanyak 3 set. Apabila anda telah semakin kuat, tambahkan menjadi 4 set.

Tip: Untuk memudahkan gerakan ini pada peringkat permulaan, anda boleh tampung berat badan anda dengan meletakkan sebelah kaki di atas kerusi ketika badan anda dalam keadaan tergantung. Semasa anda menarik badan ke atas, tolak sedikit menggunakan sebelah kaki berkenaan.

Cuba beri tumpuan kepada lebih menggunakan otot belakang semasa menarik dan hanya menggunakan sedikit tolakan kaki anda sebagai bantuan.

Lakukan senaman ini 3 kali seminggu. Pastikan anda rehat sehari selepas melakukannya untuk membolehkan otot mengalami masa rehat untuk pulih.



Gerakan-gerakan senaman yang dinyatakan di atas sememangnya agak sukar dilakukan sekiranya anda tidak biasa bersenam. Tetapi lazimnya kesukaran ini hanya di peringkat permulaan sahaja. Apabila anda sudah semakin kuat, anda pasti akan dapat melakukannya dengan lebih mudah.

Gerak Senaman Untuk Hasil Yang Maksima

Apabila anda sudah semakin kuat, anda boleh meningkatkan lagi tahap kesukaran latihan ini. Ini akan meningkatkan lagi kadar metabolisma tubuh anda, kerana anda akan memberi lebih banyak tekanan terhadap otot-otot anda.

Gerakan ini dikenali sebagai “superset”. Ia dilakukan dengan menggabungkan 2 jenis senaman di dalam satu set.

Cara Melakukan
  • Lakukan senaman Half Squat/Separa Menyangkung sebanyak 20 kali. Kemudian dengan tanpa rehat, terus lakukan senaman Push Up/Tekan Tubi sebanyak 20 kali. Ini adalah set pertama.
  • Rehat selama 30 saat dan mulakan set yang kedua dengan melakukan gabungan gerak senaman yang sama. Lakukan sebanyak 3/4 set.

Lakukan senaman ini 3 kali seminggu. Pastikan anda rehat sehari selepas melakukannya untuk membolehkan otot mengalami masa rehat untuk pulih.

Apa yang dinyatakan di atas adalah asas kepada gerak senaman yang menggunakan otot-otot besar anda. Jika sebelum ini anda tidak biasa bersenam atau kurang melakukan senaman yang agak berat, lakukanlah mengikut kadar kemampuan anda.

Yang penting, anda mesti bermula. Walaupun anda hanya mampu melakukan sebanyak 5 kali bagi setiap gerak senaman, ia adalah lebih baik daripada tidak melakukannya sama sekali.

Jangan paksa diri anda. Bermula pada kadar yang selesa buat diri anda dan tingkatkan kekuatan tubuh anda dari masa ke semasa.

Bagaimana Mengempiskan Perut Yang Buncit

0

Category:


Perut buncit boleh menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan diri. Ia merupakan salah satu masalah yang agak sukar diatasi, sama ada bagi lelaki mahupun perempuan.

Namun jika dilakukan dengan betul, sesiapa sahaja akan dapat mengempiskan perut dalam masa yang singkat.

Punca sebenar mengapa masih ramai gagal mengatasi masalah perut buncit ialah kerana salah faham mengenai proses sebenar yang dapat menyingkirkan lemak yang akan menurunkan berat badan dan jenis senaman yang sepatutnya dilakukan.

Perut buncit terjadi kerana banyak lemak terkumpul di bahagian pertengahan tubuh. Jadi, tentunya cara terbaik ialah dengan menghilangkan lemak berlebihan itu. Namun, satu perkara yang perlu kita fahami ialah kita tidak akan boleh menyingkirkan lemak hanya pada satu-satu bahagian tertentu sahaja.

Contohnya, kita tidak mungkin akan dapat menghilangkan lemak hanya pada bahagian perut sahaja. Lemak berlebihan hanya boleh dikurangkan melalui pembakaran secara semulajadi yang berlaku pada seluruh bahagian tubuh secara berperingkat-peringkat.

Cuba anda perhatikan bagaimana keadaannya apabila berat badan seseorang itu bertambah, atau apabila seseorang mula menjadi gemuk. Adakah hanya di bahagian perut sahaja yang “naik” atau keseluruhan tubuhnya akan kelihatan “naik”?

Cuma bahagian perut yang akan kelihatan lebih ketara kerana otot-otot di bahagian perut sangat kurang digunakan dalam pergerakan harian kita.

Begitu jugalah keadaannya apabila ingin menghilangkan perut buncit. Kita perlu menyingkirkan keseluruhan lemak berlebihan di dalam tubuh untuk mendapatkan hasilnya. Dan cara yang terbaik ialah dengan meningkatkan kadar metabolisma tubuh.

Metabolisma tubuh boleh ditingkatkan dengan 2 cara utama iaitu melalui pemakanan yang betul dan senaman. Mari kita lihat huraian mengenai setiap satu cara utama ini.

Pemakanan Yang Betul

Sistem pemakanan yang betul adalah JAUH LEBIH PENTING berbanding senaman untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh. Ini kerana keaktifan proses metabolisma diransang oleh enzim-enzim yang sedia ada secara semulajadi didalam tubuh. Dan segala enzim ini terbentuk daripada apa yang kita makan setiap hari.

Untuk mendapatkan keterangan terperinci mengenai system pemakanan yang betul, anda boleh baca selanjutnya di sini.


Senaman

Senaman akan menjana proses metabolisma semulajadi tubuh. Namun, jika sistem pemakanan kita betul, hanya sedikit aktiviti senaman diperlukan untuk proses metabolisma tubuh bekerja membakar lemak dengan efisyen sepanjang masa.

Senaman atau aktiviti fizikal akan menyebabkan otot-otot tubuh kita bergerak aktif. Otot merupakan bahagian tubuh yang menyimpan glikogen, salah satu bahan semula jadi tubuh yang meransang peningkatan kadar metabolisma.

Oleh itu, untuk memastikan kadar metabolisma tubuh kita sentiasa tinggi sepanjang masa, senaman yang dilakukan perlu tertumpu pada bahagian yang memiliki otot-otot yang besar seperti peha, dada dan bahagian belakang tubuh.



Masih ramai yang beranggapan senaman seperti “sit up” dan “crunches” akan dapat mengempiskan perut. Sebenarnya, senaman ini TIDAK AKAN mengempiskan perut. Ia hanya akan menguatkan dan menimbulkan bentuk otot-otot abdomen setelah lapisan lemak yang menyeliputinya berjaya disingkirkan.

Untuk memperolehi hasil yang maksima dalam usaha mengempiskan perut, lakukan aktiviti senaman yang banyak menggunakan otot-otot besar. Ini akan meningkatkan kadar metabolisma tubuh yang akan membakar lemak secara keseluruhan. Kemudian, tambah rutin senaman dengan aktiviti “sit up” dan “crunches” agar bahagian perut akan kelihatan lebih kemas menarik.

Anda boleh mendapatkan butiran terperinci mengenai cara melakukan senaman yang betul di sini.